Tazkirah Ramadan | Umat Islam di  seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta  amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar  atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun   Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah  kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan,   iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat,  keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri  daripada api neraka. 
Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat  Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan  sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak  bebas daripada siksaan api neraka. 
   Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah  malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana  pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu  juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.     Apatah lagi pada malam akhir-akhir  di bulan Ramadan, terdapat satu  malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang  mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab  suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan  keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali  dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir. 
Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami  telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa  jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar  itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam  itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa  segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);  Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran,  Al-Qadr 97: 1-5)  
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut  juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah  mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang  beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. 
Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya  dengan beramal  seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar  itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) . 
 Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr
Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi  hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk  menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia  akan dapat masuk syurga. 
Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT  mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi  Muhammad s.a.w antara lain;  
Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak  sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan  peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama  dengan amalan umat sebelum mereka.  
Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan  kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu  pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh  umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara  60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah  menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan  kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.   
Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan  oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan  rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada  malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan  atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.  
 Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut 
Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan  seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam  hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan  terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. 
Ini dilakukan  dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih  meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya  dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat  tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta  berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.  
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering  Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah  kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta  peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih." 
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh  kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan  kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini  kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus  dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal  ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. 
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada  Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia  tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang  dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap  anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik  orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada  Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.   
   Hikmah dirahsiakan kehadirannya 
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku  Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar  manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu  malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap  malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh  baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu. 
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan  kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir.  Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan  nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka  daripada segala kehancuran dan kerosakan.  
Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran  pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada  dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang  bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah  corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya  malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi  Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.  
Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam  al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk  baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka  masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam  al-Qadar tahun depan.   
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya.  Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu  bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku  pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.   
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya  pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan. 
Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang  sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan  hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi  dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar  Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."  
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan  cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu. 
Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah.  Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah  yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku  pada malam ke-27.  
Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr  terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul  Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga  adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.  
Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat  bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam  terakhir Ramadan.  
Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis  daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah  sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada  akhir Ramadan."  
Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu  kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam  ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah  yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada  sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.  
Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya  umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa  menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan  memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.  
 Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah  bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang  dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga  baginda sujud di atas tanah yang berair. 
Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan,  didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan  dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan  pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.  Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh. 
Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas;  siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada  malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada  malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan  kemudiannya menangis teresak-esak. 
Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan  melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan  ceruk yang gelap gelita. 
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang  lain daripada malaikat.  
Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah  sujud.  
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.  
 Fokus umat pada malam tersebut
Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling  sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang  perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara  berikut: 
Menghayati malam tersebut dengan ibadah  
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan  dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.  
Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan  rahmat dan keredhaanNya.  
Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya  Allah SWT sahaja yang tahu.  
Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w  ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam  al-Qadr.  
Berdasarkan  hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan  beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam  tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.  
Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh  kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan  tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak  terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para  sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran  Malam al-Qadr! 
Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat  
Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal  ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya  mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai  ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam  masjid pada malam-malam terakhir Ramadan. 
Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral,  perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah  krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil  tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing  memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai  orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat  pelaksanaan ibadat puasa. 
 Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan  Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat  Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat  Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala  seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku  Lailatul Qadr pada malam tersebut)?  
Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku  Risalah Qiyam Ramadan) :  
 "Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda  :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya)  dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah  lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad  5/318]. 
Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat  beramal pada malam Al-Qadr, katanya :  
 "Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam  tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan  pada malamnya mendirikan qiyamullail.
Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang  bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan  barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat  disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari  hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).  
Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan  tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang  diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :  
"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam,  dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh  malam (sumber yang sama - 6342)." 
Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul  Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan  kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang  solih, Insya Allah. - mks.                         _


 
