Jumaat, 27 Mei 2011

Salam Imtihan

     Alhamdulillah,masih diberi kesempatan lagi  untuk meneruskan kehidupan di bumi Mesir  ini sebagai seorang pelajar.Tinggal beberapa hari lagi,minggu imtihan bakal ditempuhi.Kali ini kemungkinan besar masih seperti tahun lalu.Minggu imtihan akan ditempuhi dalam cuaca yang agak panas.Namun itulah hakikatnya,sebagai seorang pelajar di Bumi Anbiya’ ini lagi2 jika anda seorang penuntut dari university Al-Azhar.
    Walauapapun halangan atau dugaan yang kita akan tempuhi,semoga ALLAH S.W.T tetap membantu serta mempermudahkan kita untuk menghadapinya.Amin ya Rob.Salam imtihan untuk semua teman2 yang akan menghadapi imtihan.Doakan kejayaan untuk kita semua.  

Ahad, 15 Mei 2011

Terima Kasih GURU


Guru jasamu takkan kulupa...........Guru ingin kuucapkan................Terima kasih atas semua jasamu.....




                                                        GURU OH GURU

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat
.
(   USMAN AWANG (1979)   )


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.


Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa
.

(A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988)


GURU

Terpujilah wahai engkau ibu bapak guru,
Engkau tak kenal lelah mendidik kami,
Sampai cita-cita kami tercapai
Tetapi engkau masih tetap menjadi seorang guru.
Sehingga kau terbitlah buku yang berjudul
Habis Gelap Terbitlah Terang.
Wahai para guru,
namamu akan selalu ukir dalam sanubariku
Engkau bagaikan surya yang menerangi
Cita-cita anak manusia(harapan Bangsa)
dan engkau laksana embun penyejuk dalam kegelapan
Engkau adalah patriot pahlawan bangsa
yang tak mengharapkan balas jasa
sehingga engkau disebut pahlawan tanpa tanda jasa.

( puisi ini ditulis dalam Bahasa Indonesia)
-JANE DOE 6 AS 3

KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

   Ada sepasang Suami isteri yang hidup tenteram.Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.
    Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Lelaki itu mendekati. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagi manusia.
"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.
Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang  pohon syirik itu."
"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja."
"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.
"Akan saya teruskan!"
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"
Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
   Demikianlah, semnejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi kecuali tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus."
Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.
"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.
Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.
"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.
"Berhenti, jangan lanjutkan."
"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang."
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"
Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."
Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan . Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?
"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."(Hadith Riwayat Muslim.)

Ahad, 1 Mei 2011

Kelmarin,Hari Ini Dan Esok

Terbitnya sang suria di pagi hari,
Hari yang baru pasti akan bermula lagi,
Kita akan melakar lagi,
Satu lagi kisah yang belum pasti,
Kerana kita tidak belum mengetahui,
Apa yang akan terjadi,
dan apa yang akan kita lalui,
pada hari yang baru ini.

Terbenamnya sang mentari senja,
Telah bertambah satu hari lagi usia ini,
Syukur padamu ya Rabbi,
Kerana telah memberi kesempatan lagi,
Untuk hambamu menikmati hidup ini,
Syukur padamu ya Rabbi,
Kerana telah memberi kesempatan lagi,
Untuk hambamu memperbaiki,
Lakaran hidup yang tidak mengikuti,
Idola hidup kami,
Nabi Muhammad s.a.w  penghulu segala nabi,

Perjalanan  hidup ini,
Realitinya ada pertemuan dan perpisahan,
Hari ini kita bertemu,
Menikmati senda tawa dan tangisan,
Namun ketika waktu berjalan,
Akan ada yang datang dan ada yang akan pergi.

 Sebenarnya,
Bukan mudah untuk insan menerima,
Setelah berusaha,
Setelah menyayangi sesuatu,
Kegagalan yang datang,
Hakikatnya,
Tiada apa yang perit,
Selain dari kegagalan,
Tiada apa yang lebih manis,
Dari sebuah kejayaan,

ALLAH S.W.T tidak akan menguji kita,
Melebihi kemampuan diri kita,
Bangunlah,
Ketika dirimu tersungkur.
Teruskanlah melangkah,
Langkah baru penuh dengan azam,
Jadikan kegagalanmu,
Pengalaman yang berharga,
Untuk mencapai satu kejayaan.

Seorang ibu pernah berkata,
Kelmarin adalah kenangan,
Hari ini adalah kenyataan,
Esok adalah mimpi yang belum pasti jadi kenyataan.


(02/05/2011)